BUKIT MERTAJAM: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan tidak menyembunyikan dokumen tambahan (adendum) berhubung permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Anwar berkata ini kerana perkara berkaitan adendum bagi membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah tidak dibincangkan pada mesyuarat Lembaga Pengampunan pada 2023.
“Saya ahli pada 2023, kerana saya pada masa itu menjalankan tugas Menteri Wilayah Persekutuan.
“Dalam mesyuarat saya ada, benda ini (adendum) tak dibangkitkan semasa saya ada, semasa Dr Zaliha Mustafa (Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) ada, benda ini (juga) tak dibangkitkan, itu keadaannya, bukan kita sorok,” kata beliau ketika berucap pada Program Muhibbah MADANI 2025 di Majlis Bandaraya Seberang Perai di sini hari ini.
Anwar berkata beliau perlu menjawab dakwaan terhadap kerajaan berhubung dokumen yang dikatakan itu kerana ia berkaitan undang-undang yang perlu betul-betul difahami.
Bagaimanapun Anwar menjelaskan dokumen adendum telah dihantar kepada Peguam Negara dan bukan kepadanya serta bukan ahli Lembaga Pengampunan.
“Dan Peguam Negara (ketika itu) kemudian bila Agong bertukar, diserah kepada Istana Negara, kerana Agong yang pengerusikan (Lembaga Pengampunan). Itu keadaan dia, bukan kita sorok,“ katanya.
Anwar berkata beliau kemudiannya membawa agenda berhubung tahanan rumah Najib kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
“Dalam kes Najib, saya yang bawa agenda ini sebab walaupun saya tidak setuju dengan orang itu, kita perlu beri peluang kepada Agong beri pertimbangan terhadap rayuannya.
“Dulu saya tidak mahu sebut dan bahas hal ini sebab ia melibatkan Raja,“ katanya.
Pada 3 Jan lepas, Istana Negara dalam kenyataan memaklumkan mana-mana pihak yang ingin mencadangkan supaya mana-mana banduan untuk diberi keampunan atau pengurangan hukuman, permohonan itu hendaklah dikemukakan oleh banduan berkenaan untuk dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong pada mesyuarat akan datang.
Dalam pada itu, Anwar berkata beliau yang membentangkan permohonan pengampunan Najib bagi pertimbangan Yang di-Pertuan Agong ke-16 Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada mesyuarat Lembaga Pengampunan itu.
“Bila mari agenda 11, Agong sebagai pengerusi tanya yang ini 10 kes lain semua dibentang oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM).
“Oleh kerana kertas pada saya, jadi baginda kata PM (Perdana Menteri) tolong bentang, saya pun bentang, mengapa masuk penjara, bagaimana hukuman dia, bagaimana masalah rakyat, bagaimana sikap antarabangsa, apa laporan penjara dan apa kes baru (Najib) yang belum selesai.
“Mengapa kita harus pertimbang juga, dia pernah jadi PM dan MB (Menteri Besar), dia pernah ada jasa kepada negara, kedudukan dia di penjara, laporan penjara baik, dia tak ada timbul masalah, kesihatan dia umumnya baik, sesekali pergi balik ke hospital,” kata beliau.
Anwar berkata Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Najib yang sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 Sept 2022.