PUTRAJAYA: Kerajaan melalui Kementerian Pengangkutan (MOT) secara rasmi menubuhkan Jawatankuasa Semakan dan Pembaharuan Undang-Undang Maritim Malaysia (MLRRC).
Jawatankuasa ini dipengerusikan oleh Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Nallini Pathmanathan dengan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Ong Chee Kwan sebagai timbalan pengerusi.
Majlis penyampaian watikah pelantikan ahli-ahli jawatankuasa disempurnakan oleh Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
Langkah ini menandakan permulaan rasmi proses semakan dan pembaharuan undang-undang maritim secara kolektif dan berfasa.
“Penubuhan jawatankuasa MLRRC merupakan langkah strategik bagi memperkasakan landskap perundangan sektor maritim negara selaras dengan amanat Perdana Menteri menerusi Ikhtiar 10: Reformasi Perundangan dan Institusi dalam pembentangan Belanjawan 2025,“ menurut kenyataan MOT.
Tujuan utama penubuhan jawatankuasa ini adalah untuk membina sistem perundangan maritim yang moden, progresif, dan responsif terhadap perkembangan perdagangan laut yang semakin kompleks.
“Malaysia, sebagai negara perdagangan yang bergantung kepada sektor perkapalan dan pelabuhan yang 94.6 peratus dagangan negara adalah melalui laut - memerlukan undang-undang maritim yang cekap, relevan dan selari dengan amalan antarabangsa,“ menurut kenyataan itu.
Jawatankuasa MLRRC akan menjalankan semakan, kajian pembaharuan, dan penggubalan undang-undang maritim secara berfasa. Fasa pertama akan menumpukan kepada enam instrumen perundangan utama, termasuk Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan Akta Lembaga Pelabuhan 1963.
Keanggotaan MLRRC terdiri daripada 23 ahli tetap termasuk wakil kerajaan, pengamal undang-undang, ahli akademik, dan wakil industri. Lapan pakar ad hoc turut dilantik bagi memperkukuh kepakaran teknikal dalam bidang berkaitan.
“Pelaksanaan semakan dan pembaharuan undang-undang ini akan dilaksanakan secara berperingkat sehingga tahun hadapan, seiring dengan Dasar Pengangkutan Negara serta menyokong agenda reformasi perundangan maritim negara ke arah sebuah sistem yang lebih mampan, inklusif dan dinamik,“ menurut kenyataan MOT. - Bernama