KUALA TERENGGANU: Seorang kerani akaun kehilangan hampir RM20,000 selepas diperdaya sindiket kerja sambilan palsu. Mangsa berusia 28 tahun itu terjebak dalam penipuan selepas melihat iklan kerja sambilan di laman web pada 1 Julai lalu.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor, mangsa diarahkan membuat bayaran pendahuluan ke akaun tertentu untuk tempahan hotel dengan janji komisen 30 peratus. “Mangsa berjaya menerima bayaran komisen untuk tugasan pertama, tetapi tidak mendapat sebarang pulangan selepas menyelesaikan tugasan kedua dan ketiga,“ jelasnya.
Mangsa baru menyedari penipuan apabila suspek memberikan pelbagai alasan untuk mengelak membayar wang tersebut. Azli menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dengan tawaran kerja sambilan dalam talian yang menjanjikan pendapatan tinggi. “Pastikan kesahihan iklan dan elak transaksi kewangan tanpa pengesahan,“ tegasnya.