KUALA LUMPUR: Kerja pemulihan Projek Residensi Hektar Gombak bermula hari ini dan dijangka siap sepenuhnya pada 2027, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.
Beliau berkata projek melibatkan 2,400 unit kediaman itu adalah antara projek perumahan terbengkalai terbesar yang terhenti sejak dimulakan pada 2018 akibat pelbagai masalah.
“Setelah berbulan-bulan kita bertungkus lumus, Jabatan Perumahan Negara dan KPKT selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI kita telah pun membuat pelbagai usaha dan berjaya mendapat suntikan modal yang baru sebanyak RM125 juta untuk selamatkan projek ini,“ katanya dalam sidang media selepas lawatan kerja ke tapak projek.
Nga memberi amaran keras bahawa sekiranya pemaju gagal menyiapkan projek mengikut jadual dan menyerahkan kunci menjelang 2027, beliau tidak teragak-agak untuk menyenarai hitam pemaju, termasuk ahli lembaga pengarah.
Sehingga kini, sebanyak 1,127 projek perumahan terbengkalai membabitkan 135,211 pembeli berjaya diselamatkan, dengan nilai pembangunan keseluruhan bernilai RM106.48 bilion.
“Kejayaan menyelamatkan projek ini membuktikan kesungguhan Kerajaan MADANI dalam menyejahterakan rakyat menerusi pendekatan proaktif dan kerjasama semua pihak,“ tambahnya. - Bernama