ALOR SETAR: Aktiviti perlombongan bitcoin secara haram yang mencuri tenaga elektrik di Malaysia telah mengakibatkan kerugian mencecah RM4.8 bilion dari 2018 hingga Jun tahun ini.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, menyatakan angka tersebut amat membimbangkan dan memerlukan tindakan penguatkuasaan lebih ketat.
“Berdasarkan statistik sejak 2018, jumlah kerugian akibat kecurian tenaga oleh aktiviti perlombongan bitcoin secara haram adalah sebanyak RM4.8 bilion, satu angka yang amat besar,“ katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyertai operasi bersepadu melibatkan Suruhanjaya Tenaga (ST) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) ke atas tujuh premis yang disyaki mencuri elektrik untuk perlombongan bitcoin di sekitar bandar raya ini.
Menurut Akmal, peningkatan kes kecurian tenaga selari dengan lonjakan harga bitcoin yang kini mencecah lebih RM500,000. “Keadaan ini menjadi cabaran besar kepada pihak penguat kuasa kerana pelaku semakin berani mengambil risiko demi mengaut keuntungan,“ jelasnya.
Operasi hari ini dijalankan mengikut Seksyen 37(3) Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447), dengan waran mahkamah. Akmal turut menyeru orang awam melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan. - Bernama