SEREMBAN: Seorang warga emas berusia 67 tahun ditemui maut di kebun durian miliknya di Kampung Bandar Tinggi, Kuala Klawang, Jelebu, selepas dipercayai tertembak senjata api buatan sendiri.
Ketua Polis Daerah Jelebu Supt Azizan Said berkata mayat lelaki itu ditemui dalam keadaan terbaring dengan kesan darah di badan. Keluarganya membuat laporan polis pada jam 10.45 malam.
“Siasatan awal mendapati mangsa telah pergi ke kebun durian seluas 2.02 hektar seorang diri sejak pagi dan tidak pulang sehingga petang. Berdekatan mayat, ditemui senjata api buatan sendiri diperbuat daripada kayu,“ katanya dalam kenyataan.
Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Rembau untuk bedah siasat. Kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Azizan menasihati orang ramai agar tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu siasatan lanjut. - Bernama