KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun terhadap bekas ketua kumpulan ‘Wolf Pack’ selepas didapati bersalah atas lapan pertuduhan termasuk melakukan aktiviti keganasan dengan mengancam untuk menyerang Kuil Sri Maha Mariamman Seafield di Subang Jaya, lima tahun lepas.

Hakim Datuk Noorin Badaruddin memutuskan demikian selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes Mahadi Mamat, 39, di akhir kes pembelaan.

“Mahkamah mendapati walaupun tertuduh mempunyai skizofrenia atau gangguan mental, tertuduh waras semasa melakukan kesalahan tersebut. Oleh demikian, pihak pendakwaan berjaya membuktikan di luar keraguan munasabah terhadap kelapan-lapan pertuduhan yang dikemukakan terhadap tertuduh,” katanya.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun masing-masing bagi pertuduhan pertama, kedua, ketiga dan ketujuh, hukuman penjara enam tahun untuk pertuduhan keempat manakala hukuman penjara lima tahun bagi pertuduhan kelima, keenam serta kelapan. Semua hukuman itu diperintahkan berjalan secara serentak dari tarikh tangkap pada 5 Mei 2019.

Hakim Noorin dalam penghakimannya berkata mahkamah berpuas hati bahawa tertuduh gagal membuktikan ‘legal insanity’ (tidak sempurna akal mengikut undang-undang) selain berpuas hati dengan keterangan yang diberikan saksi pembelaan kedua Dr Ian Llyod Anthony berkaitan keadaan mental tertuduh.

“Rumusan keterangan saksi pembelaan kedua itu menjurus kepada tertuduh mempunyai mental yang waras dan saksi itu juga telah membuat pemerhatian dan berpendapat bahawa kognitif mental tertuduh berfungsi dengan baik semasa melakukan kesalahan berkenaan,” katanya.

Selain itu, Hakim Noorin berkata tertuduh telah menyembunyikan senjata dan bom paip dalam tanah serta kebun yang mana ia jelas menunjukkan tertuduh mengetahui apa dilakukannya.

“Setelah meneliti mesej WhatsApp dengan ahli-ahli kumpulan ‘Sejati Sejiwa’, saya mendapati tertuduh faham dan tahu akibatnya selain melihat cara tertuduh memujuk ahli-ahli kumpulan WhatsApp untuk bersama-sama beliau,” katanya.

Terdahulu peguam Farida Mohammad yang mewakili Mahadi berkata pihaknya memohon hukuman ringan dengan mengambil kira isteri tertuduh yang mempunyai Sistematik Lupus Eritematosus (SLE) tidak mempunyai pekerjaan tetap dan sebelum ditangkap anak guamnya hanya bekerja di kebun kelapa sawit.

“Anak guam saya juga tidak mempunyai rekod jenayah lampau. Tempoh pemenjaraan yang lama bukan penyelesaian baik kerana apa yang penting adalah untuk memulihkan tertuduh dengan memberi kaunseling dan perubatan,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Fakhrurrazi Ahmad Salim memohon mahkamah mengenakan hukuman berat dengan mengambil kira kepentingan awam melebihi kepentingan tertuduh sendiri.

“Hasil daripada tunjuk arah tertuduh menemukan pistol dan paip bom. Ini menunjukkan keseriusan kesalahan yang dilakukan tertuduh,” katanya.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Mahadi didakwa mencari sokongan terhadap suatu perbuatan pengganas dengan mengancam untuk membuat serangan di Kuil Sri Maha Mariamman Seafield di Subang Jaya dan mengancam untuk membunuh empat individu warganegara Malaysia, melalui kumpulan WhatsApp ‘Sejati Sejiwa’.

Pertuduhan mengikut Seksyen 130J (1) (b) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau penjara maksimum 30 tahun atau denda.

Bagi pertuduhan ketiga, Mahadi didakwa memberi latihan penggunaan senjata api kepada anggota kumpulan WhatsApp ‘Sejati Sejiwa’ dalam persediaan melakukan suatu perbuatan pengganas di bawah Seksyen 130F (a) kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda.

Bagi pertuduhan keempat, dia didakwa memberi arahan untuk melakukan perbuatan pengganas kepada anggota kumpulan WhatsApp tersebut mengikut Seksyen 130F (b) kanun sama yang boleh dikenakan hukuman maksimum tujuh tahun dan denda.

Sementara itu bagi pertuduhan kelima dan keenam, Mahadi didakwa mendapatkan enam butir ‘pipe bom’ dan sepucuk pistol semi-automatik CZ 75 B serta 15 butir peluru jenis ‘Luger 9mm’ untuk melaksanakan perbuatan pengganas, mengikut Seksyen 130JD (1) kanun sama membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda.

Bagi pertuduhan ketujuh, lelaki itu didakwa merekrut beberapa individu menyertai kumpulan WhatsApp ‘Sejati Sejiwa’, untuk melakukan perbuatan pengganas di bawah Seksyen 130E kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan kelapan pula, Mahadi didakwa memilik item yang mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Daesh dan perbuatan keganasan di dalam sebuah telefon bimbit.

Pertuduhan mengikut Seksyen 130JB (1) (a) kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, dan boleh dilucut hak mana-mana item berkenaan dan kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat Counter Terrorism Bahagian E8 Cawangan Khas Bukit Aman dan di Kampung Teris, Hulu Terengganu, kira-kira 5.45 petang, 7 Jan 2019 dan 5 Mei 2019, pukul 9.48 malam.