• 2025-07-30 01:56 PM

SHAH ALAM: Ketua Polis Selangor yang baharu, Datuk Shazeli Kahar, menekankan komitmennya untuk memperkukuh persepsi positif masyarakat terhadap perkhidmatan polis di negeri ini. Beliau memulakan tugas rasmi hari ini dengan menyatakan bahawa langkah ini penting bagi memudahkan pengurusan isu jenayah dan ketenteraman awam.

“Tugas pertama saya ialah berusaha bersama pasukan untuk meningkatkan persepsi positif masyarakat Selangor terhadap PDRM. Persepsi positif ini berkait rapat dengan pelbagai isu yang boleh diuruskan, dan daripada situ kita akan susun langkah seterusnya mengikut keperluan,“ katanya selepas Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Ketua Polis Selangor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

Shazeli turut menegaskan kerjasama erat dengan kerajaan negeri bagi memastikan kesejahteraan rakyat Selangor terjamin. Majlis tersebut disaksikan oleh Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi (JLog) Bukit Aman, CP Gilberd Philip Layang. - Bernama