SIBU: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memperoleh peruntukan RM100 juta khusus bagi membiayai kerja-kerja membaik pulih kemudahan di klinik-klinik kesihatan serta kuarters kediaman petugasnya di Sarawak.

Timbalan Menterinya Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata separuh daripada jumlah itu adalah peruntukan yang disalurkan oleh kerajaan negeri Sarawak.

Beliau berkata tempoh pelaksanaan projek-projek di bawah peruntukan RM100 juta ini adalah dalam tempoh 18 bulan dan pihak Jabatan Kesihatan Sarawak telahpun mengenal pasti semua lokasi (klinik kesihatan terlibat).

Lukanisman berkata selain itu pihak kementerian juga sedang melaksanakan kerja-kerja baik pulih ke atas 39 klinik kesihatan daif di Sarawak di bawah Program Inisiatif Bitara MADANI pada tahun ini.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis perasmian Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Bulan Malaysia Sihat Sejahtera @ HePiLI (BMSS) dan One Hour Malaysia Clean Up (1HMCU) 2024 peringkat negeri Sarawak di SMK Agama Sibu di sini hari ini.

Program jelajah tersebut telah diadakan di 15 lokasi di seluruh Sarawak sejak bermula 15 Ogos lepas dan akan tamat di SMK Petra Jaya pada 18 Okt ini.