• 2025-09-20 07:29 PM

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) memantau rapi penularan varian COVID-19 baharu, XFG, walaupun negara kini dalam fasa endemik.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata walaupun XFG adalah subvarian Omicron, setakat ini tiada kebimbangan berhubung tahap keganasanny dan hanya satu kematian dicatatkan.

“Varian ini tidak menunjukkan simptom yang lebih teruk berbanding Omicron lain. Walaupun kadar penularannya lebih tinggi, ia tidak dikaitkan dengan peningkatan keganasan penyakit,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Dzulkefly berkata subvarian XFG mencatatkan peratusan jangkitan 9.1 peratus manakala JN.1 dan XEC masing-masing mencatatkan 17.4 peratus dan 12.7 peratus.

“Semua ini adalah subvarian yang kami (KKM) terus pantau melalui penjujukan genomik agar tindakan proaktif dapat diambil sekiranya berlaku penularan,” katanya.

Beliau juga berkata KKM serta Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) sentiasa bersiap sedia dan tidak mengambil ringan situasi semasa.

Menurut beliau, kebanyakan kes hanya mengalami simptom biasa seperti gangguan pernafasan tanpa tanda luar biasa atau lebih serius.

“Kita tidak mahu menimbulkan panik, tetapi mereka yang mempunyai simptom perlu mendapatkan rawatan segera. Setakat ini, tiada penularan besar dilaporkan, hanya kes-kes terpencil,” katanya.

Sementara itu, mengulas insiden pergaduhan melibatkan seorang wanita hamil dan lelaki di sebuah premis makanan di Shah Alam dipercayai berpunca daripada perbuatan merokok di tempat awam, Dzulkefly berkata perkara itu kini dalam siasatan polis.

“Kita tidak mahu berlaku lagi insiden seumpama itu. Kita berharap perokok menghormati undang-undang, sementara mereka dibenarkan merokok, mereka juga perlu memastikan asap tidak terkena kumpulan terdedah seperti wanita hamil, kanak-kanak dan warga emas,” katanya.

Tular satu video seorang lelaki bergaduh dengan pasangan suami isteri di sebuah restoran di Seksyen 7, Shah Alam dipercayai berang selepas ditegur kerana merokok dalam premis tersebut.

Khamis lepas, media melaporkan bahawa lelaki berusia 49 tahun berkenaan telah ditahan di Persiaran Kayangan, Seksyen 9, selepas pulang berkonvoi motosikal dari Thailand - Bernama