• 2025-07-01 05:19 PM

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) terus memperkukuh penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) bagi menangani peningkatan penggunaan vape dalam kalangan remaja.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni menegaskan komitmen kerajaan dalam mengawal penjualan produk rokok elektronik kepada individu bawah 18 tahun.

“Kita kekal dengan Akta 852 yang telah digubal bagi memastikan kawalan ketat dikenakan terutama penjualan kepada individu berumur bawah 18 tahun,” katanya selepas merasmikan Persidangan Meja Bulat Pengurangan Kemudaratan 2025 di sini hari ini.

Beliau menambah, KKM kini menggiatkan pendekatan melalui penguatkuasaan kesalahan berkaitan penjualan dan pengiklanan serta pendidikan kepada pengguna dan peniaga.

Selain itu, pelbagai program kesedaran dan intervensi akan dilaksanakan di sekolah, institusi pengajian tinggi (IPT), dan komuniti bagi menangani ketagihan nikotin dalam kalangan generasi muda.

Lukanisman turut memaklumkan bahawa KKM telah mengadakan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri yang dipengerusikan oleh Menteri Kesihatan baru-baru ini.

“Kedah dan Terengganu telah menyatakan hasrat larangan penjualan atau pemberian lesen kepada premis tertentu bagi penjualan produk vape.

Namun, kita terbuka untuk mempertimbangkan pengharaman penuh jika terdapat data saintifik dan sokongan masyarakat,” jelasnya.

Kerajaan juga akan menyalurkan semula kutipan cukai daripada penjualan vape kepada sektor kesihatan, seperti yang diumumkan Perdana Menteri dalam sesi Parlimen sebelum ini.