PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan bahawa seorang pegawai perubatan yang dilaporkan meninggal dunia baru-baru ini telah diwartakan secara rasmi pada 31 Mac 2024 sebagai Pegawai Perubatan Pakar Otorinolaringologi.
KKM memaklumkan pegawai berkenaan telah menamatkan pengajian kepakaran Sarjana Otorinolaringologi (ORL) pada November 2022.
Pegawai tersebut menjalani tempoh pewartaan pertama di Hospital Umum Sarawak dari 30 Januari hingga 29 Julai 2023.
Berdasarkan laporan penyelia, pegawai berkenaan memerlukan lanjutan tempoh bagi menambah baik beberapa aspek latihan klinikal.
Tempoh lanjutan pewartaan dilaksanakan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar dari 1 Oktober 2023 hingga 31 Mac 2024.
Sepanjang tempoh tersebut, beliau menunjukkan peningkatan prestasi yang baik dan mencapai tahap kompetensi profesional yang ditetapkan.
Kenyataan KKM itu dikeluarkan sebagai mengulas hantaran di aplikasi X oleh seorang wanita yang mendakwa berlaku pilih kasih dalam proses pewartaan jawatan suaminya.
KKM menegaskan bahawa proses pewartaan dilaksanakan secara profesional, bebas daripada campur tangan luar dan berasaskan merit.
Kementerian tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk pilih kasih atau kepentingan individu dalam penilaian pegawai.
Pewartaan bukan sekadar pengiktirafan akademik tetapi penilaian menyeluruh terhadap kecekapan, integriti dan keupayaan klinikal sebenar seseorang pegawai.
Proses ini bertujuan menjamin keselamatan pesakit serta mutu perkhidmatan kesihatan awam.
KKM memaklumkan proses pewartaan pakar ialah prosedur standard bagi semua pegawai perubatan yang menamatkan latihan kepakaran di bawah KKM.
Ia selaras dengan Perintah-Perintah Am Bab F yang bertujuan menjamin keselamatan pesakit dan mengekalkan tahap profesionalisme tertinggi.
Hanya pegawai yang diperakukan akan diwartakan secara rasmi melalui Warta Kerajaan Persekutuan. – Bernama