• 2025-07-22 01:55 PM

KUALA LUMPUR: Rombongan negara ke Rundingan Tahunan Malaysia-Indonesia di Jakarta pada 29 Julai ini akan disertai Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg. Perbincangan tersebut antara lain akan membincangkan isu berkaitan Laut Sulawesi.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan kepentingan kehadiran kedua-dua pemimpin negeri itu kerana sebarang keputusan mengenai sempadan negara memerlukan persetujuan kerajaan negeri. “Hal ini dalam prosesnya mesti dipersetujui oleh Kerajaan Negeri Sabah, jadi minggu ini, 29 Julai kita sambung perbincangan di Jakarta dan Ketua Menteri Sabah juga dalam rombongan, kerana bila ada tajuk perbincangan mengenai sempadan, persetujuan Sabah diperlukan,“ katanya.

Anwar turut menjelaskan bahawa dalam mesyuarat rasmi dua hala yang melibatkan negara jiran seperti Indonesia atau Singapura, beliau sentiasa memastikan Premier Sarawak dan Ketua Menteri Sabah turut serta. “Mana-mana mesyuarat rasmi kalau melibatkan Singapura atau Indonesia, saya selalu - sebagai peraturannya, mengundang dan meminta Premier Sarawak dan Ketua Menteri Sabah dalam rombongan, dan ini akan berlaku untuk 29 hari bulan ini,“ jelasnya.

Soalan mengenai isu ini diajukan oleh Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) yang mempersoalkan sama ada keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 2002 mengenai kedaulatan Pulau Ligitan dan Sipadan boleh mempengaruhi penentuan sempadan maritim Malaysia-Indonesia di Laut Sulawesi, termasuk blok ND6 (Blok Y) dan ND7 (Blok Z). - Bernama