Your Title

MERSING: Kontraktor yang menerima projek daripada Kementerian Kerja Raya (KKR) digesa menyiapkan projek itu lebih awal daripada jadual asal dan bukan hanya mengikut jadual ditetapkan.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata usaha itu selaras dengan hala tuju kementerian yang mahu memastikan tiada lagi projek lewat sehingga perlu meminta lanjutan tempoh penyiapan.

“(Penyiapan projek) mengikut jadual itu merupakan kaedah lama, kaedah baharu mulai tahun ini adalah projek-projek ‘ahead of time’ dan (disasarkan) sifar projek sakit di seluruh negara, itu dua gesaan kementerian mulai tahun ini.

“(Pada masa sama) kita berharap tiada projek yang ‘extension of time’, tetapi hendaklah ‘ahead of time’ sama ada awal 10 hari, sebulan dua atau tiga bulan,“ katanya kepada pemberita sempena lawatan kerja di Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Mersing di sini hari ini.

Dalam lawatan itu beliau turut membuat pemerhatian terhadap beberapa projek yang perlu diperbaiki di daerah ini termasuk membina dan menaik taraf kuarters Jabatan Kebajikan Masyarakat di Desa Bina Diri; menyiapkan baki kerja bagi jeti di Pulau Pemanggil; menaik taraf kemudahan asas infrastruktur utiliti Pulau Besar; dan pembinaan kolam menyelam tempur Kem 21 Gerup Gerak Khas.

“Ini semua projek yang diharap dapat diselesaikan dengan segera dan projek-projek yang saya sebutkan ini menghadapi masalah tertentu sehingga menyebabkan ‘extension of time’ dan sebagainya,“ katanya.

Ahmad turut maklumkan terdapat enam projek persekutuan telah dikenal pasti di bawah seliaan JKR Mersing meliputi pembinaan bangunan baharu dengan kos RM50.1 juta dan tiga projek penyelenggaraan bangunan bernilai RM2.1 juta, tahun ini.

“Selain itu tiga projek jalan raya bernilai RM477 juta dikenal pasti melibatkan pembinaan dua jalan baharu dan menaik taraf satu jalan sedia ada, bagi mengatasi isu kesesakan lalu lintas, sekali gus meningkatkan keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya,“ katanya.