KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah merampas 8,177 kilogram (kg) minyak masak peket bersubsidi dalam serbuan di sebuah rumah teres di Jalan Kobusak di sini semalam.

Pengarahnya Georgie Abas berkata dalam serbuan menerusi Ops Tiris itu, pihaknya turut merampas 48kg gula serta menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan.

“Keseluruhan nilai sitaan RM20,579.30 dan kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan iaitu minyak masak dan gula,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata serbuan dilakukan selepas seorang pegawai penguat kuasa KPDN membuat penyamaran dengan cara menjadi pelanggan dan telah diarahkan suspek untuk datang ke alamat yang diberikan melalui aplikasi Whatsapp.

Georgie berkata serbuan dilakukan serta merta semasa transaksi jual beli berlaku dan penjaga premis yang ditemui gagal menunjukkan sebarang dokumen atau kebenaran daripada KPDN untuk membeli serta menyimpan barangan kawalan tersebut.

“Hasil pemeriksaan lanjut menemui minyak masak paket 1kg bersubsidi pelbagai jenama dan gula pasir kasar 1kg yang disimpan di kawasan kaki lima serta ruang tamu rumah berkenaan,” katanya.

Open Two Websites with Image

Clickable Image