Your Title

JITRA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah merampas 1,049 botol cecair pencuci pakaian berjenama yang disyaki tiruan dalam tiga serbuan di tiga pasar raya di daerah Alor Setar, Sungai Petani, dan Baling, semalam.

Pengarahnya Muhammad Nizam Jamaludin berkata dalam serbuan yang turut disertai wakil pemilik cap dagangan berdaftar pada kira-kira 11 pagi itu, sebanyak 283 botol dirampas di Alor Setar, 572 di Sungai Petani, dan 194 botol di Baling, yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM19,897.

Katanya rampasan dilakukan selepas produk tersebut dipercayai menggunakan cap dagangan berjenama yang dipakaikan dengan salah pada barangan berkenaan.

“Operasi ini dijalankan berdasarkan aduan pemilik cap dagang berkenaan. Susulan itu, kami telah melakukan pemantauan dan risikan sejak September tahun lepas oleh anggota penguat kuasa KPDN Alor Setar, KPDN cawangan Sungai Petani dan KPDN cawangan Baling.

“Hasil pemeriksaan, kami menemui sejumlah cecair pencuci pakaian tiruan di stor dan rak jualan premis berkenaan dan sitaan dilakukan untuk tindakan lanjut. Pihak pasar raya telah diambil keterangan dan siasatan sedang dijalankan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Menurut Muhammad Nizam, kes ini disiasat mengikut Akta Cap Dagangan 2019.

Katanya orang ramai diingatkan agar tidak menjual barangan tiruan kerana tindakan tegas akan diambil dan KPDN Kedah juga akan terus mempergiatkan pemeriksaan dan operasi selaras dengan inisiatif ‘KITA GEMPUR’.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata sebanyak 722 tindakan kes di bawah pelbagai akta telah direkodkan di negeri ini dengan nilai rampasan lebih RM5.37 juta sepanjang tahun lepas.

“Tiga akta yang paling banyak melibatkan kes adalah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011, Akta Timbang dan Sukat 1972, dan Akta Kawalan dan Bekalan 1961,” katanya.