CHUKAI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu merampas kira-kira 19,550 liter minyak diesel bersubsidi bernilai lebih RM42,000 dalam satu serbuan menerusi Op Tiris di sebuah premis di Kampung Labohan di Kerteh dekat sini malam tadi.

Pengarah KPDN negeri Saharuddin Mohd Kia berkata hasil serbuan pada 9.30 malam itu, pihaknya turut merampas peralatan dan kenderaan yang digunakan untuk kegiatan penyelewengan minyak diesel termasuk dua lori tangki, sebuah lori kanvas dan tiga skid tank serta pam penyambung dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM425,032.

“Serbuan di premis yang disyaki dijadikan stor haram tempat penyimpanan dan pemindahan minyak diesel bersubsidi ini dilakukan oleh 14 anggota penguat kuasa KPDN Terengganu dan 21 anggota Polis Diraja Malaysia. Ia adalah hasil risikan yang telah dilakukan selama tiga bulan sebelum ini.

“Hasil maklumat awal yang diperoleh, modus operandi sindiket ini ialah menggunakan lori yang telah diubah suai untuk membeli minyak diesel bersubsidi di stesen-stesen minyak di sekitar Kerteh dan Paka (di Dungun). Minyak diesel itu kemudiannya dibawa ke stor haram terbabit untuk dipindahkan ke dalam skid tank sebelum dijual semula,” katanya dalam sidang media di Kampung Labohan di sini hari ini.

Saharuddin berkata susulan serbuan itu, pihaknya menahan enam lelaki warga tempatan berumur antara 29 hingga 56 tahun bagi membantu siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa KPDN tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam sindiket dan aktiviti haram berkaitan minyak diesel bersubsidi dan menggesa semua pihak termasuk syarikat dan pengusaha stesen minyak agar sentiasa mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan.

“Mana-mana orang yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda hingga RM1 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali

“Bagi syarikat sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2 juta dan kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Saharuddin berkata berdasarkan statistik penguatkuasaan Op Tiris bermula 1 Mac tahun ini hingga semalam, sebanyak 1,097 pemeriksaan telah dilakukan di seluruh Terengganu, manakala 17 kes telah direkodkan yang melibatkan rampasan dan sitaan terhadap minyak diesel, aset serta peralatan lain berjumlah RM1.5 juta. - Bernama