KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menegaskan bahawa laporan media mengenai lebih 100,000 unit perumahan tidak terjual adalah kurang tepat dan tidak menggambarkan keadaan sebenar pasaran hartanah negara yang kekal stabil dan terkawal.
KPKT memaklumkan jumlah dalam laporan tersebut merangkumi data rumah siap tidak terjual, rumah dalam pembinaan tidak terjual, dan rumah yang diluluskan tetapi belum mula dibina.
Berdasarkan data rasmi Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), data rumah siap tidak terjual menunjukkan trend penurunan berterusan bagi setiap suku tahun pertama bermula 2022.
Statistik rasmi menunjukkan 35,592 unit pada 2022, 26,872 unit pada 2023, 24,208 unit pada 2024, dan 23,515 unit pada 2025.
Perkembangan ini membuktikan pasaran perumahan negara kekal stabil manakala usaha kerajaan memperkukuh dasar perumahan telah memberikan kesan positif.
KPKT bekerjasama dengan NAPIC dalam penyediaan dan pelaporan data perumahan negara melalui inisiatif “Data Tunggal untuk Satu Negara”.
Kaedah kemasukan data tunggal dilaksanakan melalui Sistem Pengurusan Bersepadu Perumahan (HIMS) yang dibangunkan Jabatan Perumahan Negara.
Sistem bersepadu ini memastikan ketepatan, kejelasan dan konsistensi data perumahan di seluruh negara.
KPKT telah mengemukakan 13 cadangan inisiatif utama kepada Kementerian Kewangan sebagai persediaan menjelang Belanjawan 2026.
Cadangan-cadangan tersebut bertujuan merancakkan kerangka ekonomi MADANI termasuk membantu rakyat memiliki rumah pertama.
Kempen Pemilikan Rumah MADANI (HOC 3.0) merangkumi pakej insentif cukai dan bukan cukai untuk menggalakkan pemilikan rumah.
Kempen ini juga bertujuan merancakkan pertumbuhan sektor hartanah negara sebagai tiang seri ekonomi.
KPKT memberi jaminan bahawa kerajaan sentiasa komited untuk memastikan pasaran hartanah kekal sihat dan mampan.
Kerajaan akan terus memantau perkembangan pasaran hartanah berdasarkan data yang tepat dan terkini. – Bernama