• 2025-09-09 05:54 PM

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi memberi jaminan bahawa proses pemilihan pelajar ke universiti awam adalah berasaskan prinsip meritokrasi sepenuhnya.

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Datuk Prof Dr Azlinda Azman menolak dakwaan wujud kelompongan dalam sistem UPUOnline semasa sidang media mengenai isu pemilihan pelajar.

Daripada 109,866 permohonan yang layak, sebanyak 78,883 orang atau 71.8% telah ditawarkan tempat di peringkat ijazah sarjana muda bagi sesi 2025/2026.

Kemasukan pelajar ke institusi dibuat dengan menyusun semua calon yang layak mengikut merit tertinggi hingga terendah.

KPT memberi jaminan bahawa semua pelajar lepasan STPM atau setaraf yang memperoleh PNGK 4.00 dan memohon ke universiti awam ditawarkan tempat pengajian.

Daripada 1,255 calon STPM PNGK 4.00 yang memohon, sebanyak 1,249 orang telah pun ditawarkan tempat manakala enam orang masih dalam proses pengesahan berikutan isu teknikal MUET.

Empat daripada enam calon sudah dihubungi dan tindakan sewajarnya diambil untuk memproses tawaran mereka manakala dua lagi calon masih dicari untuk dihubungi.

Mengulas aduan terdapat pelajar lepasan diploma dengan PNGK 3.99 tidak mendapat tempat, Azlinda berkata beberapa faktor menyebabkan kegagalan termasuk pemilihan kursus tidak setara.

Faktor lain termasuk tidak memenuhi syarat khas program serta dokumen permohonan tidak lengkap.

Calon-calon dinasihatkan memanfaatkan tempoh rayuan yang dibuka dari 5 hingga 14 September ini.

Mengenai kes calon STPM yang mengadu kepada Ahli Parlimen, Azlinda berkata semakan mendapati calon itu hanya memohon program Perakaunan di empat universiti.

Universiti yang dipohon termasuk Universiti Malaya, Universiti Putra Malaysia, Universiti Utara Malaysia dan Universiti Teknologi Malaysia.

Selepas proses pemilihan dijana oleh sistem, calon berkenaan ditawarkan program Sarjana Muda Pengurusan dengan Kepujian di universiti penyelidikan terkemuka.

Walaupun calon memperoleh PNGK 4.00 dengan merit 99.90%, ranking permohonannya dalam program perakaunan berada jauh di belakang calon lain yang mempunyai merit 100%.

Sebagai contoh, di Universiti Malaya terdapat 2,291 permohonan layak dengan 1,127 merit penuh untuk program perakaunan.

Calon berkenaan berada di kedudukan ke-1,129 sedangkan hanya 85 tempat disediakan untuk program tersebut.

Azlinda menegaskan semua keputusan adalah dijana sistem berdasarkan pemarkahan merit yang ditetapkan mengikut kursus dan program dimohon.

KPT menolak dakwaan wujud kelompongan dalam sistem sedia ada namun sentiasa terbuka menerima pandangan dan penambahbaikan.

Calon yang tidak berjaya atau mempunyai kemusykilan boleh menghadiri sesi konsultasi bersama pihak UPU pada 8 hingga 12 September di Lobi KPT, Putrajaya. – Bernama