KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memperkenalkan laluan khas bagi lulusan baharu Kolej Komuniti untuk melanjutkan pengajian ke peringkat politeknik dan universiti dalam bidang teknikal. Inisiatif ini bertujuan menyediakan peluang kerjaya lebih baik kepada graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, menjelaskan bahawa sebelum ini, graduan terpaksa memohon ke universiti teknikal sahaja. “Hari ini, kita ada ruang untuk mereka melanjutkan pelajaran di peringkat lebih tinggi berdasarkan kelayakan dan kursus yang diambil,“ katanya.
Beliau turut mengumumkan dasar baharu untuk menilai semula keberkesanan Kolej Komuniti dalam melatih tenaga mahir tempatan. Kursus yang ditawarkan akan diselaraskan dengan keperluan industri semasa. Selain itu, KPT sedang menilai keperluan penubuhan Kolej Komuniti di kawasan bandar.
Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa, Datuk Seri Dr Izudin Ishak, turut mencadangkan penubuhan institusi pendidikan di Setiawangsa, termasuk Kolej Komuniti, bagi memacu pembangunan modal insan terutama dalam kalangan belia - BERNAMA