• 2025-07-13 05:59 PM

BANTING: Hanya seorang rakyat Malaysia menjadi mangsa dalam tragedi feri karam di Selat Bali, Indonesia pada 2 Julai lepas, menurut Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau menjelaskan bahawa tiada lagi mangsa lain yang melibatkan warga Malaysia dilaporkan setakat ini. Jenazah mangsa yang terkorban itu telah selamat dikebumikan.

“Setakat ini tiada lagi (mangsa baharu melibatkan warga Malaysia), tetapi usaha mencari masih dilaksanakan,“ katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Langat di Dewan Sri Jugra.

Mohamad turut menyeru agar mana-mana pihak yang ingin membantu keluarga mangsa boleh menyalurkan bantuan bagi memudahkan urusan mereka.

Menurut laporan media pada 11 Julai, seorang rakyat Malaysia, Fauzey Awang, 55, disahkan antara tiga mangsa yang ditemukan maut di perairan Pantai Perancak, Bali.

Tragedi itu melibatkan feri Tunu Pratama Jaya yang karam selepas 30 minit berlepas dari Pelabuhan Ketapang, Banyuwangi.

Jenazah Allahyarham Fauzey, yang berasal dari Terengganu, telah dikebumikan di Jawa Timur pada malam Jumaat.

Ini memenuhi hasrat terakhirnya untuk disemadikan berhampiran makam gurunya dan berdekatan dengan isterinya di Indonesia.

Fauzey, yang bekerja di Malaysia, sering pulang ke Indonesia setiap tiga bulan untuk bertemu isterinya.

Feri yang dinaikinya membawa 65 penumpang dan 22 kenderaan sebelum karam.

Setakat Jumaat, seramai 47 orang telah dikenal pasti, termasuk 30 mangsa terselamat dan 17 terkorban.

Operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan bagi mangsa yang masih hilang. – Bernama