• 2025-07-12 05:50 PM

JELI: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan terus memantau lima pelajar Malaysia yang masih berada di Iran untuk meneruskan pengajian, kata Menterinya Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Beliau berkata kerajaan telah memberi ruang dan bersedia membantu mereka sekiranya ingin pulang ke Malaysia. “Kita akan terus memantau walau di mana mereka berada demi keselamatan,“ katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Jeli di Bukit Nangka.

Sebelum ini, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan menyatakan hanya lima rakyat Malaysia masih di Iran atas pilihan sendiri. Mereka telah menandatangani surat aku janji untuk kekal di sana meskipun kerajaan menggesa rakyat meninggalkan negara itu ekoran konflik yang semakin meruncing.

Pada 23 Jun lalu, 17 rakyat Malaysia selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bersama enam warga Iran dan seorang rakyat Singapura.

Mengenai mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terlibat dalam kemalangan bas bulan lepas, Zambry berkata semua telah dibenarkan keluar hospital. “Pelajar terakhir discaj pada 8 Julai di Hospital Sultanah Nur Zahirah. Tiga sudah kembali ke kampus, selebihnya ikuti kelas dalam talian,“ katanya.

Dalam nahas 9 Jun itu, 15 pelajar UPSI maut apabila bas sewa dari Jertih ke Tanjung Malim terlibat kemalangan bersama Perodua Alza. Seramai 33 cedera termasuk pemandu dan penumpang kedua-dua kenderaan. - Bernama