KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) kini mempergiat pelbagai inisiatif bagi menangani isi kesihatan mental keluarga termasuk program intervensi awal.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata antara program intervensi awal itu, bas kaunseling bergerak dan pusat sokongan sosial setempat, selain kempen advokasi kesihatan awal yang melibatkan pelbagai pihak, terutamanya ibu bapa.

Kementerian serius menangani isu kesihatan mental kata beliau khususnya melibatkan remaja sambil merujuk kepada kes membabitkan seorang pelajar Tingkatan Lima yang didakwa membunuh ibu serta abang sulungnya di kediaman mereka di Melaka.

“Bas (kaunseling) akan ke kawasan tertentu untuk melaksanakan program kaunseling. Kita tahu mereka ini kadangkala tidak sedar ada masalah. Contohnya, bila disuruh melukis, barulah mereka sedar mereka sebenarnya menyimpan tekanan yang dipendam sekian lama.

“Kementerian juga turut menggalakkan ‘second honeymoon’ untuk pasangan suami isteri serta sesi ‘parenting awareness’ bagi ibu bapa baharu,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Kem Kapten Keluarga di Santubong di sini hari ini.

Kem yang diadakan sempena sambutan Hari Bapa Peringkat Kebangsaan anjuran Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) itu turut dihadiri Pengerusi LPPKN Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Nancy menyeru masyarakat tidak perlu malu untuk mendapatkan bantuan dan lebih peka dengan kesihatan diri sendiri.

“Di Sarawak contohnya, pelbagai sokongan ditawarkan kepada pelajar dan komuniti. Yang penting bercakaplah dengan kawan, saudara, sesiapa yang boleh dipercayai,” katanya.

Dalam ucapannya pada majlis itu, Nancy berkata dalam era moden yang serba mencabar ini, peranan seorang bapa turut menuntut penglibatan emosi, intelektual, dan sosial.

Memetik Tinjauan Pendapat Umum Bersempena Sambutan Hari Bapa 2024, beliau berkata didapati sembilan daripada 10 bapa mengakui menjadi seorang ayah pada masa kini jauh lebih mencabar berbanding zaman dahulu.

Beliau berkata antara cabaran yang dihadapi para bapa ialah kos sara hidup dan masalah untuk menyeimbangkan antara kerja dengan kehidupan.