KUALA LUMPUR: Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kejayaan mesyuarat khas rundingan gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja di Putrajaya.
Dalam hantaran Facebook, beliau menyatakan usaha Anwar sebagai Pengerusi ASEAN 2025 menunjukkan komitmen Malaysia dalam memainkan peranan proaktif di peringkat serantau. “Perdana Menteri Malaysia menjadi sosok penting ke arah usaha damai menghentikan konflik di antara kedua-dua negara, Kemboja dan Thailand,“ katanya.
Semalam, Anwar mengumumkan Thailand dan Kemboja bersetuju melaksanakan gencatan senjata serta-merta tanpa syarat bagi meredakan ketegangan di sempadan yang dipertikaikan. Mesyuarat itu dihadiri Perdana Menteri Kemboja Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai.
Turut hadir ialah Duta Amerika Syarikat ke Malaysia Edgard Kagan dan Duta China ke Malaysia Ouyang Yujing. AS bertindak sebagai penganjur bersama, manakala China menyokong penyelesaian damai sebagai pemerhati.
Kedua-dua negara ini mempunyai sejarah panjang pertikaian diplomatik melibatkan 817 kilometer sempadan yang belum ditandakan sepenuhnya. Ketegangan memuncak sejak 28 Mei lalu selepas pertempuran tentera berhampiran Preah Vihear yang mengorbankan seorang anggota tentera Kemboja.
Konflik terbaharu tercetus pada 24 Julai dengan beberapa insiden pertempuran dilaporkan di utara Kemboja, mengakibatkan korban jiwa di kedua-dua pihak. - Bernama