• 2025-08-01 11:37 AM

JOHOR BAHRU: Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) menawarkan pengurangan hingga 80 peratus bagi kompaun kesalahan lalu lintas dan tempat letak kereta kepada warga bandar raya Johor Bahru bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan ke-68.

MBJB dalam kenyataan memaklumkan tawaran yang akan bermula pada 15 hingga 31 Ogos ini dilaksanakan sebagai galakan kepada orang ramai untuk menyelesaikan kompaun tertunggak.

“Diskaun 80 peratus ini melibatkan kompaun-kompaun yang telah dikeluarkan dari 2016 hingga Disember 2024.

“Bagi kompaun yang dikeluarkan sepanjang 2025 pula, pengurangan masih ditawarkan mengikut kadar tetap MBJB, iaitu sebanyak 60 peratus,” menurut kenyataan itu hari ini.

Bayaran kompaun boleh dibuat melalui pelbagai saluran termasuk aplikasi MBJBSpot, kaunter-kaunter MBJB, kios pembayaran MBJB, aplikasi e-Khidmat, serta portal PBTPay.

Sehubungan dengan itu, warga bandar raya ini dinasihatkan agar memanfaatkan peluang terbaik ini untuk melunaskan sebarang kompaun tertunggak sebelum tempoh promosi tamat - BERNAMA