GEORGE TOWN: Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Komunikasi, Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa, menerima Darjah Gemilang Pangkuan Negeri (D.G.P.N) yang membawa gelaran Datuk Seri sempena Ulang Tahun Keputeraan ke-84 Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib.
Penganugerahan itu berlangsung dalam Istiadat Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang 2025 di Dewan Sri Pinang. Mohamad Fauzi diiktiraf atas sumbangannya dalam memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan awam serta pembangunan dasar komunikasi negara.
Beliau yang berusia 57 tahun sebelum ini memegang pelbagai jawatan strategik termasuk Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) di Jabatan Imigresen Malaysia dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Kawalan) di Kementerian Dalam Negeri.
“Anak kelahiran Kepala Batas, Kedah itu telah menyumbang kepada pelbagai inisiatif transformasi dalam pentadbiran kerajaan, khususnya dalam pembangunan organisasi, keselamatan dan komunikasi sejak dilantik sebagai KSU Kementerian Komunikasi pada 3 Mei, 2023,“ menurut kenyataan rasmi.
Sepanjang kerjayanya, beliau turut menerima beberapa anugerah lain seperti Ahli Mangku Negara (A.M.N.), Setia Diraja Kedah (S.D.K.), dan Darjah Pangkuan Seri Melaka (D.P.S.M.).
Istiadat tersebut turut menyaksikan 389 individu lain menerima darjah kebesaran, bintang dan pingat negeri, termasuk dua penerima Darjah Yang Mulia Pangkuan Negeri (D.M.P.N) dan 31 penerima Darjah Setia Pangkuan Negeri (D.S.P.N). - Bernama