KOTA KINABALU: Persidangan Francais Halal berfungsi sebagai medium untuk memperkukuh ekosistem francais halal negara sambil membantu usahawan tempatan menembusi pasaran antarabangsa.
Program anjuran Perbadanan Nasional Berhad dengan sokongan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu menghimpunkan lebih 500 usahawan, agensi kerajaan serta pemain industri francais dan halal dari seluruh negara.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick menyatakan penganjuran persidangan itu merupakan kesinambungan kepada Program Pembangunan Halal Success KUSKOP-Pernas 2025 yang telah memberi impak besar kepada hampir 1,000 usahawan di seluruh negara termasuk 500 peserta dari Sabah.
Beliau menjelaskan program itu membuka peluang kepada usahawan untuk memperkukuh daya saing melalui pematuhan pensijilan halal, pembangunan produk, inovasi teknologi serta perluasan pasaran antarabangsa.
“Penganjuran persidangan ini dijangka menjadi pemangkin utama kepada pertumbuhan francais halal tempatan, memperkukuh jaringan strategik antara agensi dan sektor swasta serta menyokong aspirasi kerajaan untuk memperkasa usahawan di seluruh negara, khususnya di Sabah,“ katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Halal Francais 2025.
Ewon menekankan Sabah mempunyai potensi besar untuk menjadi pintu masuk utama francais halal tempatan ke pasaran ASEAN dan global berdasarkan kedudukannya yang strategik serta kekuatan sumber tempatan yang pelbagai.
Persidangan itu turut menampilkan pelbagai pengisian menarik termasuk sesi forum, perkongsian bersama usahawan francais dan halal, padanan perniagaan serta sesi interaktif khas bersama beliau dan panel industri bagi membincangkan cabaran serta peluang dalam sektor francais halal dan keusahawanan.
Beliau turut menjelaskan pelbagai inisiatif telah dilaksanakan di bawah agenda pembangunan halal KUSKOP termasuk Program Pembangunan Kapasiti Industri Halal serta Program Pembangunan Kapasiti Produk Halal.
Sehingga Oktober lepas, Program Pembangunan Keusahawanan Halal telah mencatatkan sebanyak 1,049 usahawan sebagai penerima manfaat.
Majlis turut dihadiri Pengerusi Pernas Datuk Mohamed Rozhan Mohd Ghazalli bersama wakil agensi kerajaan dan industri. – Bernama