• 2025-07-07 06:25 PM

ISKANDAR PUTERI: Johor mencatat sejarah dengan pelancaran ladang pertanian menegak terbesar di Malaysia, seluas lebih 50,000 kaki persegi.

Projek bernilai RM40 juta ini merupakan usaha sama antara FarmByte Sdn Bhd, anak syarikat Johor Corporation (JCorp), dan syarikat teknologi pertanian Singapura, Archisen Pte Ltd.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, ladang ini terletak di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan mula dibangunkan sejak 2023.

“Ini pencapaian bersejarah untuk Johor, Malaysia, dan Singapura. Projek ini bukan sekadar pertanian, tetapi ekosistem baharu yang menyokong keselamatan makanan serantau,“ katanya.

Ladang ini menggunakan teknologi persekitaran pertanian terkawal (CEA) untuk menghasilkan sayuran seperti salad ice plant tanpa racun perosak dan tidak bergantung pada cuaca.

Pengeluaran tahunan dijangka mencecah 306,000 kilogram, menyokong Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara dan sasaran ‘30 by 30’ Singapura.

Projek ini menarik minat pelbagai pemain industri pertanian dari Malaysia dan Singapura.

FarmByte dan Archisen kini dalam perbincangan untuk memperluas kerjasama dan membina ekosistem pertanian menegak yang lebih kukuh.

Turut hadir dalam majlis pelancaran ialah Pengarah FarmByte Archisen Vincent Wei, Pengerusi JCorp Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim, dan Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan Negeri Lee Ting Han. - Bernama