MELAKA: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) sedang membina sebuah ladang ternakan ayam di Felda Tun Ghafar Bukit Senggeh, Jasin membabitkan kos RM23 juta yang bakal menawarkan peluang pekerjaan kepada peneroka di situ.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asahan Fairul Nizam Roslan yang juga Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri itu berkata projek tersebut melibatkan pembinaan lapan reban ayam dua tingkat secara tertutup.
“Projek yang bermula pada Mei lalu dan dijangka siap pada Ogos 2024 nanti dibina di tanah seluas lapan hektar dan mampu menternak ayam kira-kira 580,000 ekor pada satu pusingan.
“Projek berkenaan juga akan menyediakan antara 20 hingga 30 pekerjaan baharu kepada peneroka di kawasan terbabit dan saya berharap agar anak tempatan diberi peluang untuk bekerja di situ,“ katanya ketika dihubungi Bernama di sini.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Pembangunan Pertanian dan Ternakan Felda Hasrin Ismail berkata Felda Tun Ghafar Bukit Senggeh mempunyai kawasan yang luas dan sesuai untuk projek ternakan ayam pedaging sekali gus akan memberi manfaat kepada empat kawasan Felda berdekatan membabitkan 1,330 peneroka.
Beliau berkata projek berkenaan dijangka menyumbang sebanyak 0.1 peratus ataupun 3.48 juta ekor ayam setahun sekali gus membantu keterjaminan makanan dalam sektor penghasilan daging ayam negara.
“Felda juga menjangkakan pulangan bersih sebanyak RM4.6 juta setahun dan pembahagian keuntungan juga akan membabitkan peneroka menerusi dividen tahunan sebanyak RM1,000 setahun,“ katanya.
Mengulas mengenai ancaman terhadap alam sekitar pula, Hasrin berkata dua isu menjadi keutamaan Felda dalam menguruskan ladang ayam berkenaan iaitu pencemaran bau dan kehadiran lalat.
Beliau berkata reban ayam secara tertutup akan mengurangkan pencemaran bau manakala ladang berkenaan pula terletak kira-kira 1 kilometer dari kawasan penempatan penduduk.
“Kehadiran lalat ini selalunya berpunca daripada tinja ayam dan kami telah mengambil semua langkah diperlukan bagi mengelak masalah tersebut memandangkan ia juga termaktub dalam syarat pembinaan ladang ayam oleh pihak berkuasa tempatan (PBT),“ katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Felda Tun Ghafar Bukit Senggeh Amirrudin Hussin, 43, pula berharap agar anak peneroka di Felda tersebut diberi keistimewaan untuk menjawat sebarang jawatan selepas ladang itu disiapkan.
Beliau berkata ketika ini majoriti golongan pemuda terpaksa meninggalkan kampung untuk mencari pekerjaan di Jasin, Ayer Keroh malah ke Tangkak, Johor.
“Ada segelintir pemuda yang mengusahakan kebun kelapa sawit yang diwarisi daripada ibu bapa mereka namun golongan ini tidak ramai kerana kerja ladang ini kerja yang sukar.
“Justeru saya berharap agar anak peneroka diberi keutamaan untuk bekerja di ladang berkenaan bagi mengelak mereka berhijrah ke luar semata-mata untuk mencari kerja,“ katanya.-Bernama