Your Title

PETALING JAYA: Pengusaha ladang kelapa sawit dan pengeluar minyak sawit di Malaysia harus berganding bahu bagi merebut peluang yang wujud selepas keputusan Indonesia untuk menghentikan eksport minyak sawit, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata walaupun Malaysia bersimpati dengan situasi yang telah menjejaskan industri minyak sawit Indonesia, namun ini adalah satu kesempatan yang perlu digunakan oleh industry minyak sawit Malaysia.

“Memandangkan terdapat kekaburan tentang jangka masa larangan ini akan berkuatkuasa, industri

minyak sawit negara perlu segera meningkatkan keupayaan inovasi sambil meneroka strategi yang terbaik untuk memenuhi permintaan pasaran dunia,“ kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Larangan eksport ini juga secara tidak langsung mengetatkan lagi pasaran global minyak masak akibat konflik antara Rusia dan Ukraine dan isu pemanasan global.

Berdasarkan analisis dan unjuran trend pasaran, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) yakin Malaysia mempunyai apa yang diperlukan untuk mengisi jurang dalam bekalan global minyak sawit.

“Memandangkan harga minyak sawit akan kekal tinggi kerana stok yang rendah di negara asal dan destinasi, serta harga yang turun naik, kementerian yakin industri sawit Malaysia akan mendapat kesan positif meskipun situasi ini dijangka akan berubah sekiranya Indonesia mengkaji semula dasar

larangannya sebaik sahaja bekalan domestik dan struktur harganya menjadi stabil.

“Penganalisis pasaran menjangkakan larangan eksport oleh Indonesia akan ditarik balik pada penghujung suku kedua 2022 (sekitar Julai) dan terdapat kemungkinan Indonesia akan membanjiri pasaran global dengan inventori sawitnya yang terkumpul ketika larangan eksport,“ tambah beliau.

Selain itu, KPPK juga mengingatkan pemain industri sawit negara bahawa terdapat kemungkinan perubahan harga mendadak yang akan berlaku memandangkan industri sawit memasuki tempoh puncak dalam pengeluaran bermusim sekarang.

KPKK juga memberi jaminan kepada pemain industri bahawa usaha untuk memenuhi permintaan tenaga kerja asing terutamanya untuk sektor perladangan sedang dilakukan.

“Pada September tahun lalu, kerajaan telah meluluskan pengambilan 32,000 pekerja asing untuk bekerja di ladang kelapa sawit dan mereka telah mula tiba sejak awal tahun ini.

“Malaysia kini menjangkakan kumpulan baharu pekerja asing akan tiba pada bulan Mei dan Jun, sekali gus mengatasi masalah tenaga kerja untuk musim menuai buah sawit,“ kata Zuraida.