SHAH ALAM: Lebih 2,000 individu direkodkan mendapatkan rawatan gangguan mental setiap tahun di klinik kesihatan di seluruh Selangor sejak 2020, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) diberitahu hari ini.

Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar negeri Jamaliah Jamaluddin berkata berdasarkan jumlah itu, daerah Klang mencatatkan rawatan pesakit tertinggi iaitu lebih 500 kes diikuti Petaling (lebih 400 pesakit) dan Sepang (lebih 300 pesakit) setahun di klinik kesihatan.

“Antara faktor gangguan mental tersebut adalah genetik dan personaliti seperti tahap ketahanan mental yang rendah menyebabkan individu sukar menguruskan cabaran hidup.

“Individu ini perlu sentiasa dikelilingi sokongan sosial bagi membantu menguruskan cabaran hidup. Faktor gaya hidup juga memainkan peranan termasuk gejala penyalahgunaan dadah dan kurang aktiviti fizikal,“ katanya pada sidang DUN Selangor di sini.

Beliau menjawab pertanyaan Sallehen Mukhyi (PN -Sabak) mengenai kes gangguan mental mengikut daerah dari 2020 hingga kini serta strategi kerajaan menangani masalah tersebut.

Jamaliah berkata gangguan mental turut disebabkan tekanan hidup termasuk trauma pengalaman lepas, isu kerjaya, tempat tinggal dan stigma terhadap kesihatan mental.

“Ini disebabkan keengganan individu yang terkesan dengan kesihatan untuk mendapatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan disediakan kerajaan. Rasa malu dilabel sebagai kurang siuman, mental, gila adalah senario biasa ditemui,“ katanya.

Jamaliah berkata kerajaan negeri melalui Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) telah merancang tujuh strategi bagi mengatasi permasalahan itu termasuk kerjasama rentas agensi.

Beliau berkata mesyuarat teknikal kesihatan mental melibatkan semua pihak berkepentingan seperti pakar psikiatri, kaunselor, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD), Setiausaha Kerajaan Negeri dan Jabatan Pendidikan Negeri turut diadakan sekurang-kurangnya sekali dalam setahun bagi membincangkan pencapaian serta penambahbaikan kepada program yang dilaksanakan.

“Kita juga jalankan latihan pengendalian tingkah laku bunuh diri kepada anggota kesihatan (MySave) selain saringan kesihatan mental terhadap klien berisiko di Jabatan Pesakit Luar (hospital),“ katanya.