• 2025-09-03 10:56 AM

KUALA LUMPUR: Lebih 2.9 juta rakyat telah membeli barangan keperluan asas menggunakan kredit Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dalam tempoh tiga hari dengan jumlah perbelanjaan mencecah RM192.4 juta di seluruh negara.

Kementerian Kewangan memaklumkan hari ketiga pelaksanaan mencatat jumlah transaksi tertinggi setakat ini dengan lebih 1.1 juta transaksi berjaya disempurnakan.

Ini melibatkan nilai jualan sebanyak RM75.3 juta setakat 10.30 malam berbanding RM50 juta pada 31 Ogos 2025.

Kadar transaksi yang berjaya juga telah meningkat kepada 95% pada hari ini berbanding 79% pada 31 Ogos 2025.

Peningkatan jumlah transaksi menyebabkan sistem MyKasih berdepan pencanakan trafik yang mencecah lebih 2,000 transaksi diluluskan seminit.

Ini merupakan peningkatan hampir empat kali ganda berbanding rekod terdahulu sekitar 540 transaksi seminit pada April 2025.

Bagi meningkatkan kelancaran sistem, kapasiti pemprosesan telah dipertingkat daripada 5,000 kepada 15,000 kuiri seminit.

Satu transaksi lazimnya melibatkan beberapa permintaan sistem termasuk imbasan MyKad, bacaan barangan dan pengesahan akhir.

Kementerian Kewangan menghargai sambutan menggalakkan daripada para penerima program ini.

Maklum balas orang ramai akan terus menjadi rujukan penting dalam usaha menambah baik sistem agar lebih cekap dan mesra pengguna.

Kredit RM100 Penghargaan SARA kekal sah hingga 31 Disember 2025 dan boleh digunakan di lebih 7,300 premis runcit berdaftar di seluruh negara. – Bernama