MELAKA: Lebih 5,000 orang telah berhimpun secara aman bagi mengutuk kekejaman rejim Zionis terhadap Palestin termasuk penahanan aktivis dalam misi kemanusiaan ke Gaza baru-baru ini.
Himpunan “Solidariti Sumud Flotila Melaka” dengan perarakan bermula di hadapan Bangunan Stadthuys hingga ke dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan di Banda Hilir itu disertai individu pelbagai agama, bangsa dan kaum dari Johor, Negeri Sembilan serta ibu negara termasuk pelancong asing.
Pengasas Akademi Kepimpinan Anak Bangsa Afiq Nordin berkata himpunan itu merentasi agama, bangsa dan sempadan negara kerana isu utamanya ialah berkaitan kemanusiaan.
Beliau menyatakan himpunan ini bukan hanya menyatakan solidariti kepada peserta misi Global Sumud Flotilla tetapi juga buat seluruh rakyat Palestin.
“Kita mahu masyarakat dunia tahu apa yang sedang berlaku di Gaza,” katanya kepada pemberita.
Afiq turut menzahirkan penghargaan yang tidak berbelah bahagi kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas hubungan diplomatik yang baik.
Beliau berkata hasil persahabatan antara negara memudahkan usaha membawa pulang aktivis yang ditahan.
Himpunan berkenaan turut disertai pelbagai pertubuhan bukan kerajaan seperti Cinta Gaza Malaysia, wakil kerajaan negeri dan pempengaruh.
Seorang peserta himpunan yang juga Ahli Majlis Orang Kurang Upaya Negeri Melaka Azian Ahmad berkata beliau mewakili golongan OKU pendengaran dan pertuturan seluruh dunia mengutuk kekejaman rejim Israel.
“Kami bersama-sama dengan seluruh dunia di himpunan ini mahu Palestin dibebaskan,” katanya yang juga Exco Persatuan Orang Pekak Melaka.
Pada Khamis lepas, 23 aktivis rakyat Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla ditahan tentera rejim Zionis selepas kapal mereka dipintas.
Mereka ditahan ketika berada di perairan Zon Merah R3 di Laut Mediterranean seterusnya dibawa ke pelabuhan Ashdod, Israel.
Aktivis tersebut kini berada di Istanbul, Turkiye selepas dibebaskan daripada tahanan tentera Israel.
Mereka dijadualkan berlepas pulang ke tanah air esok.
Global Sumud Flotilla disertai lebih 500 aktivis dari 45 negara belayar menuju ke Gaza sebagai simbol solidariti.
Misi ini merupakan usaha memecahkan sekatan Israel sambil menghantar bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza. – Bernama