SEREMBAN: Lebih RM3.3 juta tunggakan bayaran sewa membabitkan dua Projek Perumahan Rakyat (PPR) di sini masih belum dilunaskan kepada Majlis Bandaraya Seremban (MBS).
Dua PPR berkenaan ialah Pangsapuri Rakyat Seri Perdana Paroi dan Rumah Pangsa Kos Rendah Lobak.
Datuk Bandar MBS Datuk Masri Razali berkata meskipun pelbagai usaha dibuat selain surat amaran, namun sebahagian penyewa seolah-olah tidak menghiraukan perkara itu.
“Tempoh perjanjian sewaan sebelum ini telah berakhir pada 31 Dis tahun lepas dan peringatan mengenai perkara ini dibuat melalui surat bertarikh 3 Mei, 24 Nov, 11 Dis dan 26 Dis 2023.
“Penyewa turut dimaklumkan premis sewaan berkenaan akan ditarik balik dan dikunci berkuat kuasa 1 Jan tahun ini sekiranya mereka gagal menjelaskan bayaran tunggakan sewa itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata MBS mengadakan pertemuan dengan penyewa bagi melihat kemampuan membayar tunggakan sewa sekali gus meminta mereka mencadangkan jumlah ansuran bulanan yang mampu dibayar secara konsisten dalam tempoh enam bulan selain menandatangani persetujuan sebagai aku janji.
Masri berkata penyewa juga bersetuju tindakan penamatan perjanjian dan mengunci rumah akan dilaksanakan sekiranya mereka tidak mematuhi aku janji yang dibuat, namun MBS mendapati masih terdapat penyewa yang gagal untuk mematuhi perjanjian berkenaan.
Beliau berkata MBS mengeluarkan notis penamatan perjanjian sewaan dan mengosongkan premis sewaan berkuat kuasa 1 Nov depan kepada penyewa yang terlibat serta tindakan itu akan dilakukan secara berterusan dari semasa ke semasa.
“MBS meminta perkara ini dijadikan contoh dan teladan kepada penyewa yang lain supaya menjelaskan bayaran tunggakan sewa kerana kadar yang ditetapkan adalah terlalu rendah iaitu RM150 sebulan,” katanya.
Beliau berkata bagi tempoh 2021 hingga tahun ini, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan melalui Program Penyenggaraan Perumahan membelanjakan lebih RM6 juta kepada dua PPR berkenaan termasuk membaik pulih rumah rosak dan menaik taraf sistem perparitan.