KUALA LUMPUR: Seorang kelindan lori didenda RM700 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini setelah mencederakan penebar roti canai warga India kerana tidak membawa imbasan kod QR kepadanya untuk membuat bayaran, bulan lepas.

Majistret Noorelynna Hanim Abd Halim menjatuhkan hukuman itu terhadap R. Mathen Kumar, 26, selepas dia mengaku bersalah menyebabkan kecederaan ke atas Suresh Muthaiah, 39, di sebuah restoran di Bandar Kinrara di sini pada 5.45 pagi, 27 Jun lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah turut memerintahkan Mathen menjalani hukuman penjara sebulan, jika dia gagal membayar denda.

Berdasarkan fakta kes, semasa pengadu sedang bekerja, dua pelanggan dalam keadaan mabuk telah memanggilnya untuk membuat pembayaran menggunakan imbasan kod QR tetapi pembayaran menggunakan kod itu hanya boleh dibuat di kaunter kerana ia ditampal di situ.

Ia menyebabkan lelaki itu marah lalu mengeluarkan kata-kata kesat sebelum menghempas kerusi dan mengejar serta menumbuk pengadu di bahagian leher.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya R. Harvind memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada Mathen, namun peguam Suthes Perumal yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan dengan alasan anak guamnya menanggung dua anak dan ibu yang uzur.