ALOR SETAR: Seorang peniaga pasar malam dipenjara 30 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pecah rumah dan mencuri di kediaman bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, minggu lepas.
T Rakesh Kumar, 44, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Syifa Mohd Hamzah.
Selain hukuman penjara, mahkamah turut memerintahkan tertuduh didenda RM1,500 dan penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda terbabit.
Mengikut pertuduhan, Rakesh Kumar yang menjual barang mainan kanak-kanak didakwa melakukan pecah rumah dengan memasuki kediaman bekas Menteri Besar Kedah dan mencuri seunit mesin rumput di Taman Rakyat, di sini pada 2.50 pagi, 29 Mei lepas.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda atau sebatan.
Terdahulu, tertuduh yang diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Aina Shafina Idrus Saidi memohon agar hukuman penjara terhadap anak guamnya diringankan memandangkan tertuduh yang telah berkahwin tidak mempunyai pendapatan tetap dan perlu menyara isteri serta ibu bapanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nur Sharmila Md Asri memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berikutan kesalahan tersebut adalah kesalahan berulang dan tertuduh pernah mempunyai rekod lampau bagi kesalahan serupa.