• 2025-07-29 01:38 PM

JOHOR BAHRU: Seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun ditahan polis selepas disyaki mencederakan seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun di kawasan Flat Ungku Tun Aminah, Sabtu lepas.

Kejadian itu menyebabkan mangsa mengalami pendarahan di kepala serta bengkak pada tangan kanannya.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara ACP Balveer Singh Mahindar Singh berkata, pihaknya menerima laporan daripada orang awam pada 5.19 petang Sabtu mengenai serangan ke atas anak mereka.

“Suspek telah ditahan pada 7.25 malam hari yang sama di kediamannya sekitar Johor Bahru,“ jelasnya dalam kenyataan hari ini.

Rakaman video kejadian yang tular di Facebook menunjukkan mangsa dalam keadaan cedera sebelum dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA).

Menurut polis, mangsa kini dalam keadaan stabil tetapi mengalami kecederaan koyak di kepala.

Suspek didapati memiliki rekod jenayah dan dadah lampau serta positif syabu.

Dia direman tujuh hari sehingga 2 Ogos dan kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata.

Sebelum ini, tular rakaman CCTV berdurasi 2 minit 20 saat yang menunjukkan mangsa bermain bersama rakannya sebelum diserang. - Bernama