ALOR SETAR: Seorang lelaki berusia 40-an yang cuba melarikan diri daripada ditahan polis dikhuatiri lemas setelah terjun ke dalam Sungai Padang Terap di Kampung Empa dekat Pokok Sena semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Siti Nor Salawati Saad berkata lelaki itu dipercayai panik dan terjun ke sungai apabila menyedari kehadiran pihak berkuasa dalam satu operasi di kawasan berkenaan kira-kira 4.15 petang.

“Polis menerima maklumat kejadian pada 4.26 petang. Menurut saksi mangsa berenang kira-kira 15 meter dari tebing sungai sebelum dilihat terus tenggelam.

“Kejadian berlaku bersebelahan kebun sayur kampung tersebut, ketika kejadian tiga orang berada di kawasan operasi, dua melarikan diri dan seorang (mangsa) terjun ke dalam sungai,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, operasi mencari dan menyelamat mangsa digerakkan bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pokok Sena, namun dihentikan sekitar 7.30 petang semalam ekoran hari gelap.

Siti Nor Salawati berkata operasi masih diteruskan hari ini di lokasi mangsa kali terakhir dilihat tenggelam.

“Polis menasihati orang ramai, terutamanya penduduk kampung berhampiran, untuk membuat laporan atau menghubungi IPD Kota Setar di talian 04-7747222 atau mana-mana balai polis berhampiran sekiranya terdapat mana-mana ahli keluarga atau kenalan yang dipercayai hilang dalam tempoh ini,“ katanya.