SHAH ALAM: Seorang lelaki dilaporkan hilang selepas sebuah lori terhumban ke dalam laut di dermaga Pelabuhan Barat, Klang dekat sini, tengah hari tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Wan Md Razali Wan Ismail berkata pihaknya mendapat panggilan berhubung insiden melibatkan mangsa Mohd Hafiz Abdul Salam berusia 24 tahun pada 12.42 tengah hari.
Beliau berkata empat pegawai serta anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pulau Indah digerakkan ke lokasi kejadian dengan dibantu 16 anggota dari dua BBP lain bersama sebuah bot.
“Operasi mencari dan menyelamat sedang giat dilakukan melibatkan empat anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) BBP Pelabuhan Klang. Sehingga kini mangsa masih belum ditemui,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Wan Md Razali berkata operasi itu turut mendapat bantuan Pasukan Polis Marin dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia bersama dua bot.