SIBU: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang sejak seminggu lalu ditemukan maut berhampiran kereta terjunam ke dalam gaung di jalan menuju Empangan Hidroelektrik Baleh, Kapit.
Ketua Polis Daerah Kapit, DSP Rohana Nanu mengesahkan mangsa dikenali sebagai Pika Rangga, 54, ditemui kira-kira 30 meter dari kenderaan terbabit.
“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kapit untuk tindakan lanjut dan sudah dikenal pasti oleh ahli keluarga,” katanya kepada Bernama.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sibu, Andy Alie menyatakan pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 3.06 petang.
Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit digerakkan ke lokasi kejadian selepas menerima laporan.
“Pasukan operasi tiba pada jam 4.08 petang dan menemui sebuah Perodua Bezza di dalam gaung kira-kira 100 meter dari jalan utama,” jelas Andy Alie.
Mayat mangsa berjaya dibawa naik menggunakan pengusung dan sistem tali sebelum diserahkan kepada pihak polis.
Pegawai perubatan Kementerian Kesihatan mengesahkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian.
Operasi pencarian dan penyelamatan ditamatkan pada jam 4.35 petang. - Bernama