• 2025-08-07 11:16 AM

PUTRAJAYA: Seorang lelaki warganegara India ditahan kerana cuba menyeludup keluar lebih 2,500 kura-kura bernilai kira-kira RM348,000 melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 (KLIA T1) pada Selasa lepas.

Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) dalam kenyataan hari ini memaklumkan suspek yang dijadualkan menaiki penerbangan ke Bengaluru, India, ditahan pada 10.05 malam di pintu pelepasan.

Imbasan ke atas beg yang dibawanya menunjukkan imej mencurigakan sebelum pemeriksaan lanjut dijalankan.

“Pemeriksaan lanjut menemui ribuan kura-kura spesies Red-eared Slider yang disembunyikan di dalam bagasi tersebut,“ menurut kenyataan itu.

Menurut AKPS, kesemua hidupan liar tersebut telah disita untuk siasatan lanjut.

Kes ini disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dan Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 - Bernama