• 2025-09-25 08:06 PM

KOTA BHARU: Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) kategori mental berusia 38 tahun ditemukan lemas di pantai berhampiran Tawang, di Bachok hari ini.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bachok Ibrahim Mohd Rohni berkata mangsa dikenali sebagai Abdul Halim Ibrahim disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Beliau menyatakan pihak bomba menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 11.54 pagi selepas maklumat diterima melalui talian kecemasan.

Panggilan tersebut memaklumkan seorang lelaki dipercayai lemas di Pantai D’Impiana Sofea.

Ibrahim Mohd Rohni berkata setibanya bomba di lokasi pada 12.37 tengah hari, pasukan membuat penilaian awal dan mendapati mangsa telah ditemui oleh orang awam sebelum pasukan bomba tiba.

Beliau menjelaskan mangsa dilaporkan bertindak agresif sebelum masuk ke laut dan gagal diselamatkan oleh orang awam yang berada berhampiran.

Mangsa kemudian dibawa naik ke darat oleh orang awam dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Tujuh anggota BBP Bachok bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender terlibat dalam operasi yang tamat sepenuhnya pada 1.03 tengah hari tadi. – Bernama