• 2025-07-04 02:29 PM

SEPANG: Seorang lelaki warga emas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan membuat penghantaran komunikasi bersifat jelik terhadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menerusi akaun Facebook miliknya pada Februari lepas.

Bagaimanapun, tiada sebarang pertuduhan dibacakan terhadap lelaki berumur 61 tahun itu memandangkan dia mengalami masalah kesihatan dan pendengaran.

Hakim Ahmad Fuad Othman membenarkan tertuduh menjalani penilaian psikiatri sebelum sebutan semula kes ditetapkan pada 15 Ogos depan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Fadhli Ab Wahab bersama Pegawai Pendakwa MCMC Mohamad Azmir Mohd Razali.

Pada 20 Jun lepas, mahkamah telah mengeluarkan waran tangkap selepas tertuduh gagal hadir ke mahkamah sebanyak dua kali.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233 (3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.