• 2025-09-10 11:45 AM

HONG KONG: Pemain perseorangan lelaki negara Leong Jun Hao berjaya mengatasi rakan senegara Lee Zii Jia untuk mara ke pusingan kedua kejohanan badminton Terbuka Hong Kong 2025.

Pemain nombor 23 dunia itu mencatat kemenangan sulung ke atas Zii Jia dengan keputusan 21-16 dan 21-16 dalam perlawanan di Hong Kong Coliseum.

Kemenangan ini menamatkan rekod tiga kekalahan Jun Hao dalam pertemuan sebelumnya termasuk di Terbuka Artik 2023.

Zii Jia yang berada di ranking ke-47 dunia bermula agresif pada set pertama dengan beberapa pukulan smash bertenaga.

Bagaimanapun banyak hantaran beliau tersasar keluar gelanggang memberikan kelebihan kepada Jun Hao.

Jun Hao mengesahkan kemenangan 21-16 pada set pertama dengan permainan yang lebih konsisten.

Beliau terus mengekalkan momentum pada set kedua walaupun diasak hebat oleh Zii Jia.

Usaha Zii Jia untuk mengheret perlawanan ke set penentuan tidak berhasil apabila Jun Hao kekal tenang.

Jun Hao meraih kemenangan straight set dengan keputusan 21-16 pada set kedua.

Beliau kini menanti pemenang perlawanan antara Justin Hoh dengan pilihan kelapan kejohanan Toma Junior Popov dari Perancis. – Bernama