• 2025-06-23 08:12 PM

KUALA LUMPUR: Lepasan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) disaran menjadi usahawan dan tidak hanya makan gaji, kata Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan.

Beliau berkata menerusi kemahiran dan kepakaran sedia ada, mereka boleh mencipta pelbagai peluang dalam bidang keusahawanan.

“Kita tidak mahu keluaran TVET dalam pelbagai bidang ini hanya makan gaji dengan pihak swasta walaupun gajinya tinggi. Apa yang kita harapkan adalah pada mulanya mereka makan gaji dan selepas itu mereka membuka perniagaan sendiri.

“Saya ingin menekankan bahawa graduan TVET patut menjadi usahawan dan mereka boleh menjadi usahawan yang berjaya sebagai contoh bidang berkaitan elektrik,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan ASEAN TVET Friendly Match 2025 di sini hari ini.

Mengenai peruntukan tambahan RM40 juta kepada Majlis TVET Negara dan RM10 juta kepada kerajaan Melaka seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini, Ahmad menyifatkan langkah itu sebagai usaha yang sangat baik untuk memperkasakan pembangunan keusahawanan TVET.

Beliau berkata kementeriannya bersama Kementerian Sumber Manusia akan memastikan peruntukan itu tidak disia-siakan malah digunakan sepenuhnya termasuk mewujudkan kurikulum keusahawanan di lokasi TVET.

Mengulas mengenai ASEAN TVET Friendly Match 2025, Ahmad berkata pertandingan yang dianjurkan buat julung kali itu melibatkan penyertaan 40 peserta belia dari 12 negara termasuk negara anggota ASEAN selain Timor Leste, China, Taiwan, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Korea Selatan dan Jepun.

Bertemakan “Bakat untuk Inklusiviti dan Kemampanan”, pertandingan anjuran Kementerian Kerja Raya dan CIDB Malaysia itu akan bermula esok hingga Khamis di empat lokasi sekitar Kuala Lumpur melibatkan sembilan bidang kemahiran utama.

Malaysia sebagai tuan rumah akan diwakili 20 peserta muda berkemahiran tinggi daripada institusi TVET seperti Kolej Vokasional, Institut Latihan Perindustrian (ILP), Kolej Komuniti dan ABM.