PUTRAJAYA: Rakyat Malaysia yang gagal memperbaharui Lesen Memandu Kompeten (CDL) lebih daripada tiga tahun berisiko hilang kelayakan menerima subsidi petrol RON95 menerusi program BUDI MADANI RON95 (BUDI95).
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menunjukkan terdapat 2.4 juta pemegang CDL berada dalam status tidak aktif, iaitu telah tamat tempoh melebihi tiga tahun.
Beliau menyatakan daripada lebih kurang 15 juta lesen memandu yang masih aktif, sebanyak 925,421 telah tamat tempoh tidak melebihi tiga tahun.
Daripada jumlah itu, sebanyak 551,688 lesen tamat tempoh kurang setahun, 219,092 tamat antara satu hingga dua tahun, dan 154,641 tamat antara dua hingga tiga tahun.
Loke menekankan kira-kira 925,000 pemegang lesen ini, walaupun masih dalam tempoh aktif tetapi tidak diperbaharui, perlu segera memperbaharui lesen, khususnya mereka yang hampir mencecah tiga tahun.
“Lebih 154,000 orang yang tidak memperbaharui lesen hampir tiga tahun tidak layak menerima subsidi RON95 secara automatik kerana apabila lesen tidak sah, ia akan terus disekat melalui sistem Kementerian Kewangan,” katanya.
Pemegang CDL yang tamat tempoh tidak melebihi tiga tahun disaran segera memperbaharui lesen bagi mengelakkan mereka diwajibkan menduduki semula Ujian Kurikulum Pendidikan Pemandu Bahagian 2 dan 3 (KPP02 dan KPP03).
Beliau berkata sejak pengumuman berkaitan BUDI95 pada 22 September lalu, JPJ merekodkan sebanyak 26,991 transaksi pembaharuan CDL menerusi pelbagai saluran termasuk aplikasi MyJPJ, mySikap, kios dan kaunter JPJ di seluruh negara.
Loke turut mengingatkan orang ramai agar menyemak tarikh tamat tempoh CDL masing-masing dan memperbaharui segera.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin lalu mengumumkan harga petrol RON95 ditetapkan pada RM1.99 seliter bermula 30 September ini bagi rakyat tempatan.
Bagi bukan warganegara, harga RON95 ditetapkan pada RM2.60 seliter bermula tarikh sama. – Bernama