Your Title

KUALA TERENGGANU: Lima lelaki yang terlibat dalam kes pukul seorang lelaki kurang upaya (OKU) di Pasar Tani Padang Astana Chukai, di Kemaman Januari lepas, masing-masing telah didenda RM2,000.

Ketua Polis Daerah Kemaman SUPT Mohd Razi Rosli berkata hukuman tersebut dikenakan selepas mereka mengaku bersalah atas kesalahan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan pada prosiding di Mahkamah Majistret Kemaman, Isnin lepas.

Bagaimanapun, Mohd Razi dalam kenyataan hari ini berkata seorang lagi individu yang turut ditahan berkaitan kes tersebut mengaku tidak bersalah dalam prosiding yang sama dan minta dibicarakan.

“Justeru, orang awam dinasihatkan agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan dan spekulasi yang tidak benar. Kami akan sentiasa memastikan siasatan dijalankan secara telus dan adil.

“Pihak polis mengucapkan ribuan terima kasih kepada orang awam yang prihatin dalam penyaluran maklumat bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dalam mengambil sebarang tindakan di tempat awam.

Sebelum ini tular di laman sosial video berdurasi 1 minit 52 saat yang memaparkan seorang lelaki dipukul dan diheret oleh beberapa individu di Pasar Tani Padang Astaka Chukai.

Menurut polis, siasatan awal mendapati kejadian berpunca apabila mangsa, Ahmad Nor Al Faizan Jusoh, 47, menunggang motosikal dan memasuki tapak jualan pasar tani lalu terlanggar sebuah gerai menyebabkan makanan jualan di gerai tersebut terjatuh.