• 2025-06-23 01:07 PM

IPOH: Lima buah kilang di Jalan Perindustrian 8, Taman Song Choon dekat Simpang Pulai musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 1.44 pagi.

Beliau berkata sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai dengan bantuan BBP Pasir Puteh, Ipoh dan Gopeng serta Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Pekan Baru dan Menglembu dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Kebakaran melibatkan lima lot kilang berkeluasan 150x70 kaki persegi setiap satu membabitkan tiga buah kilang, termasuk sebuah kilang memproses peralatan sembahyang dengan kesemuanya musnah terbakar kira-kira 70 peratus.

“Kebakaran turut melibatkan sebuah kilang memproses cat dan kilang memproses teh herba yang kedua-duanya musnah terbakar kira-kira 80 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sabarodzi bagaimanapun berkata kebakaran itu tidak melibatkan mangsa dengan operasi terkawal pada 4.10 pagi dan proses overhaul sedang dilaksanakan sehingga kini.