TUARAN: Lima lelaki maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori treler dalam kemalangan di Jalan Sulaman Gayang.
Kemalangan berlaku di hadapan Pusat Latihan Jabatan Sukarelawan Malaysia pada pukul 2.09 petang tadi.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sabah mengesahkan semua mangsa berusia dalam lingkungan 20-an.
Kelima-liga mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai Kementerian Kesihatan di lokasi kejadian.
Identiti semua mangsa belum dapat dipastikan dan mayat mereka diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kemalangan tersebut.
Kemalangan berlaku apabila kedua-dua kenderaan dari arah bertentangan bertembung sebelum MPV terbabas ke bahu jalan.
Sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Kinabalu tiba di tempat kejadian sejauh 29 kilometer pada kira-kira 2.50 petang. – Bernama