KOTA KINABALU: Mahkamah Kanak-Kanak Kota Kinabalu telah membenarkan permohonan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) untuk hadir sebagai pemerhati dalam kes buli membabitkan Zara Qairina Mahathir.
Kebenaran itu diberikan di bawah Seksyen 12(3)(c) Akta Kanak-Kanak 2001.
Pegawai Perhubungan Awam Mahkamah Cindy Mc Juce Balitus berkata permohonan SUHAKAM telah dibenarkan oleh Hakim Elsie Primus dalam prosiding tertutup.
Pendakwaan telah menyerahkan 15 dokumen kepada pesalah kanak-kanak pertama dan 18 dokumen masing-masing kepada empat lagi selaras dengan Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah.
Lima dokumen tambahan akan diserahkan kepada semua pesalah kanak-kanak semasa pengurusan kes praperbicaraan pada 16 Oktober.
Perbicaraan yang ditetapkan pada 9 hingga 20 Disember akan berjalan seperti yang dijadualkan.
Kes ini dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad, Nik Haslinie Hashim dan Deepa Nair Thevaharan.
Empat pesalah kanak-kanak diwakili peguam Azhier Farhan Arisin, Abdul Fikry Jaafar Abdullah, Fareez Salleh dan Sylyester Kuan.
Seorang lagi pesalah kanak-kanak diwakili peguam Datuk Ram Singh, Joan Goh serta Prem Elmer Ganasan.
Lima remaja perempuan telah didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak Kota Kinabalu pada 20 Ogos atas pertuduhan membuli Zara Qairina yang berusia 13 tahun.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan iaitu berhubung kesalahan menggunakan atau membuat apa-apa perkataan atau komunikasi yang mengancam, kesat atau menghina.
Zara Qairina meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu pada 17 Julai.
Beliau ditemukan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha di Papar pada pagi 16 Julai. – Bernama